Penerima pertama Biasiswa NAC-UAS perjuang seni untuk semua First recipient of NAC-UAS scholarship advocates arts for all – Berita Harian

SPH Media
By Llydea Ishak

 

Memasyarakatkan seni yang kadangkala dianggap abstrak atau payah difahami untuk dihadam orang awam telah lama menjadi impian pendidik seni dan seniman visual, Encik Muhammad Nhawfal Juma’at.

Sebagai anggota Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad) yang pernah menyandang jawatanNaib Presiden dan Setiausaha persatuan itu, Encik Muhammad Nhawfal, 33 tahun,ingin dekati lebih ramai dalamkalangan penduduk Singapura melalui seni.

Tujuannya adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingya seni dalam kehidupan seharian.

Beliau bahkan bersyukur impiannya ini lebih diperkasa dengan peluang menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Seni Halus (Nafa) di bawah naungan institusi yang baru bermula Ogos ini, Universiti Seni Singapura (UAS), menerusi Biasiswa Majlis Seni Kebangsaan (NAC)-UAS.

Encik Muhammad Nhawfal merupakan antara empat penerima pertama Biasiswa Seni NAC-UAS yang diperkenalkan pada 2024.

Biasiswa itu dibuka bagi program sarjana muda dan possiswazah dalam usaha memupuk generasi pemimpin seni seterusnya di Singapura di samping lebih melibatkan masyarakat secara am.

Ia juga bertujuan menyediakan pelbagai lowongan dalam sektor pendidikan kesenian agar penerima biasiswa dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam dunia budaya dan kreatif.

Encik Muhammad Nhawfal bakal melanjutkan pengajian selama dua tahun pada pertengahan Ogos ini. Sebelum ini, beliaumemiliki ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Seni Halus daripada Universiti Loughborough pada 2016 danDiploma Seni Halus daripadaNafa pada 2012.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Muhammad Nhawfal, berkata beliau teruja tetapi agak gementar hendak memulakan perjalanan semula sebagai pelajar.

“Saya sendiri mengajar di Nafa selama lapan tahun. Apabila saya melihat anak didik saya, saya rasa cemburu kerana mereka masih dapat mendalami seni. Tapi, pada masa yang sama,ada juga rasa bimbang sebab saya dah lama tidak bergelar pelajar,” katanya.

Menyingkap kembali penglibatan sebagai seniman sejak 2010, Encik Muhammad Nhawfal berkata banyak aspek seni telah beliau terokai dengan dirinya kini ingin fokus pada perjalanan selanjutnya lantas tidak dapat bergerak seaktif dahulu di Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Apad.

“Dalam masa saya berkarya, saya cuba pelbagai bentuk seni, dari lukisan, ke seramik dan seni pemasangan. Pada masa yang sama, dengan meningkatnya usia dan pelbagai peristiwa kehidupan, pandangan dan tanggapan saya berubah mengikut masa.

“Saya akur paling gemar seni pemasangan kerana ia membawa seni terus kepada orang ramai dan membolehkan saya bekerjasama dengan orang lain bagi menjayakan sesuatu projek. Ia memuaskan bagi saya kerana ia membawa seni kepada masyarakat tanpa halangan.

“Biasanya, orang anggap seniman selalu bersendiri.Memang benar,tetapi seni adalah untuk semua orang dan saya ingin rapatkan jurang itu,” jelasnya lagi.

Secara keseluruhan,13 anak seni menerima Biasiswa Seni NAC dan bakal melanjutkan pengajian mereka di peringkat sarjana muda dan possiswazah.

Biasiswa Seni NAC itu dianugerahkan kepada penerima yang menerajui disiplin seni baru dan melibatkan khalayak baru, memanfaatkan kuasa transformatif seni dalam bidang bukan seni dan mengejar kecemerlangan seni dan silang budaya dalam seni.

Sebelum ini, karya Encik Muhammad Nhawfal pernah dipamerkan di acara “Paper Trails Between Lion and Swan” di Fremantle, Western Australia, dan “NOCTURNE: Conversations with Waterloo” sempena PestaMalamSingapura (SNF) pada 2022.

Bagi pengajian sarjananya kelak, beliau ingin meneroka tempat yang sering digunakan orang ramai seperti lif, perhentian bas dan lokasi lain yang jarang difikirkan setelah digunakan.

“Apabila tamat pengajian saya nanti,saya harap dapat menerapkan apa yang saya pelajari bagi mendidik pelajar saya dan rapatkan lagi hubungan masyarakat dengan dunia seni,” jelas bapa seorang anak yang menanti kelahiran cahaya mata kedua pada Oktober ini.


View on Berita Harian.

View PDF copy of the article.
Source: Berita Harian © SPH Media Limited. Permission required for reproduction.

Other News